Oleh Tariq Ismail
KUALA LUMPUR, Malaysia-Biro Hal Ehwal Luar Negara Pejuang prihatin dengan keadaan yang semakin meruncing di Afghanistan yang telah menimbulkan krisis kemanusiaan bagi rakyatnya.
Di tengah-tengah krisis ini, kami semakin berdukacita akan tindakan keganasan pada 26 Ogos 2021 di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai yang telah mengakibatkan kehilangan ramai nyawa di kalangan warga Afghanistan dan asing, lantas
kami mengutuk keras tindakan terkutuk ini.
Kami ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, dan mendoakan agar mereka yang cedera cepat sembuh.
Serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai, juga membuktikan bahawa situasi di Afghanistan adalah kompleks dan jalan menuju perdamaian penuh dengan cabaran.
Walaupun begitu, kami berharap agar pihak Taliban dan mana-mana pihak yang memegang tampuk kepimpinan dapat mencari jalan penyelesaian menuju perdamaian di tengah-tengah kebuntuan politik mereka, dan mereka akan mencapai kata sepakat dari semua puak bagi kebaikan Afghanistan dan kestabilan di rantau ini.
Kami juga ambil maklum kecaman antarabangsa terhadap pihak Taliban berkenaan rekod hak asasi mereka, terutamanya perlakuan mereka terhadap wanita dan kanak-kanak.
Namun, kami yakin bahawa pihak Taliban dan mana-mana pihak yang memegang tampuk kepimpinan kini akan menegakkan ajaran Islam yang sebenar agar secara tak langsung dapat meningkatkan reputasi mereka mengenai hak asasi manusia.
Lantas kami menyeru agar anggota masyarakat antarabangsa dan organisasi bantuan antarabangsa meneruskan usaha luar biasa mereka dalam memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan, terutama wanita dan kanak-kanak untuk memastikan bahawa keadaan kemanusiaan di Afghanistan tidak bertambah buruk di tengah-tengah pergolakan politik.
* Tariq Ismail Mustafa mengetuai Biro Hal Ehwal Luar Negeri Pejuang *
0 Comments
LEAVE A REPLY
Your email address will not be published