KUALA LUMPUR, Malaysia--Pelantikan Tan Sri Mahiaddin baru-baru ini sebagai ketua Majlis Pemulihan Nasional membingungkan.

Hakikatnya, sebagai pemimpin di waktu krisis, beliau terbukti gagal memimpin negara ini keluar dari pelbagai kemelut.

Seandainya ada yang terlupa, manusia bernama Mahiaddin inilah yang berkali-kali menentang nasihat DYMM Tuanku Agong dan sekaligus menjejaskan Perlembagaan negara.

Manusia bernama Mahiaddin ini jugalah yang menciplak dan mencuri cadangan Majlis Pemulihan Nasional dari seteru politik hanya demi menjaga populariti politik sendiri…sekalipun tidak sekelumit pun buah fikiran bernas yang disumbang.

Manusia bernama Mahiaddin ini jugalah, yang sehingga ke sudah tidak telus dan kekal berahsia apabila gagal membentangkan berbagai Ordinan Darurat, terutama Ordinan yang memerlukan persetujuan Parlimen dalam hal perbelanjaan negara di waktu Darurat.

Apabila PM Datuk Ismail Sabri melantik Mahiaddin sebagai ketua Majlis Pemulihan Negara, maka pemerintahan ini juga terpalit dengan budaya politik rakus dan tamak akan kekuasaan dan wang semata-mata.

Bagaimana rakyat dapat beri kepercayaan dan keyakinan pada Mahiaddin apabila beliau sendiri tidak mempamerkan ciri-ciri kepimpinan? Sebaliknya beliau menggalakkan budaya politik penuh korupsi, pentadbiran yang dipimpin pengikut-pengikutnya yang bebal, sombong dan riak, serta mengagungkan budaya rasuah di kalangan umat Islam?

Dalam gelojohnya beliau mempertahankan maruah Melayu, Mahiaddin sebaliknya berjaya membuat bangsa Melayu ini dipandang hina apatah lagi apabila gagal membela nasib rakyat di waktu pandemik melanda. Tingkah laku beliau dan seluruh Team Abah amat bertentangan dengan ajaran Islam dan menjejaskan imej Islam.

9. Ukuran kegagalan di waktu pandemik ini, bukan sahaja melalui buruknya perangkaan kekayaan dan ekonomi negara berbanding pasaran-pasaran lain, terutama sekali memandangkan Malaysia banyak mengeksport hasil-hasil alam dan asas bagi sektor perindustrian sedunia.  Ianya juga dinilai melalui keyakinan rakan-rakan niaga melalui sokongan yang sanggup mereka berikan kepada negara.

Di sini, harus saya ingatkan bahawa rakan-rakan niaga yang terbesar dari Jerman dan Jepun terpaksa menegur kerajaan Mahiaddin akan strategi negara menangani Covid-19. Juga, isu cabotage yang menjejaskan talian internet yang digunapakai korporat gergasi dunia iaitu Facebook, Google, Amazon dan Microsoft, suatu kegagalan kerajaan Mahiaddin apabila akibat kerakusan mereka, gergasi-gergasi ini terpaksa mengalihkan pusat-pusat talian internet ini ke negara-negara lain di Asia Tenggara lantas menjejaskan peluang pekerjaan dari peluang ekonomi diberi gergasi-gergasi ini.

Banyak lagi contoh-contoh kegagalan kepimpinan yang amat menjejaskan ekonomi negara, bukan sahaja di waktu pandemik ini, tetapi di waktu akan datang apabila kita cuba pulihkan negara. Perangai sombong bodoh kerajaan gagal ini, akan berterusan apabila pemulihan dipimpin Mahiaddin dan Team Abah yang menjadi punca besar kegagalan dari mula.