Source Tree Light

Pejam celik pejam celik, antara sedar atau tidak, kita sudah pun berada di tahun 2020. Pelbagai perubahan dapat dirasakan. Antaranya seperti kepesatan pembangunan penempatan penduduk setempat, pertambahan bilangan penduduk di sesebuah kawasan atau daerah, peningkatan jumlah kenderaan secara mendadak, kepesatan teknologi yang begitu drastik dan pelbagai lagi senario.

Kehidupan moden yang dapat dirasakan pada hari ini adalah hasil dari proses evolusi ketamadunan manusia sejagat. Dari penemuan percikan api sehinggalah kepada terciptanya idea pembuatan roda bulat. Dari penemuan petroleum hasil dari teknologi penerokaan sehinggalah kepada berkembangnya rangkaian telekomunikasi 5G.

Sebagai manusia kita berkemampuan untuk memprediksikan apa yang akan terjadi di masa hadapan. Dimana kehidupan akan lebih canggih, semuanya serba-serbi automatik dan penduduk semakin bertambah. Berkemungkinan robot-robot yang akan melayani manusia dan mungkin juga akan ada kereta terbang…! Begitu gambaran yang telah diberikan oleh masyarakat dunia sebelum tahun 2020 menjangkakannya!

Namun kita sudah disini! Tahun 2020! Nampaknya tidaklah semenarik seperti apa yang telah digambarkan di dalam filem-filem bergenre sains fiksyen… Apa yang telah diberikan gambaran hanyalah sekadar perkara-perkara yang indah-indah khabar dari rupa semata!

Filem-filem dari Barat ada juga menyelitkan beberapa klu tentang perkara-perkara yang telah terjadi, sedang terjadi dan bakal terjadi. Tidak disangkal lagi, keilmuan tentang duniawi hanya diberikan penggiliran kepada mereka buat masa ini untuk membayangkannya kepada manusia semua.

Apa yang menarik tentang ketamadunan manusia di masa hadapan adalah ianya telah meninggalkan beberapa soalan yang kritikal. Antaranya, adakah masih ada agama atau sebarang bentuk kepercayaan pada masa akan datang nanti? Sebelum kita dapat menjawab persoalan ini, mari kita lihat dari sisi universal makhluk yang dinamakan ‘manusia’ ini.

Dapat dilihat bahawa manusia adalah salah satu ciptaan tuhan yang sangat kompleks. Manusia diciptakannya di atas segala rantaian kehidupan di dunia. Seolah-olah bumi dan segala kehidupan di dunia ini diciptakan hanya untuk melayani manusia semata-mata.

Sedangkan manusia mempunyai pelbagai ragam kehidupan. Manusia ini punyai ras, warna kulit, budaya, agama dan juga kepercayaan. Ada kepercayaan berasaskan entiti di langit. Ada yang percaya pada kuasa alam, dan ada juga yang menaruh kepercayaan kepada objek-objek di sekelilingnya.

Peradaban manusia bermula dari sedikit dan kemudian membangun dan bercambah menjadi banyak. Seperti yang kita tahu pada hari ini, populasi manusia di muka bumi telah berkembang menjadi sekitar 7 billion. Walaupun nampak begitu padat, masih banyak bahagian bumi yang belum diterokai oleh manusia serta terdapat kawasan-kawasan bumi yang belum diterokai dan digunakan.

Sudah menjadi naluri manusia, mereka akan berperang sesama sendiri. Dahulu, kini dan selamanya. Manusia berperang dalam konteks mendominasi, mempertahankan diri dan negara serta untuk meluaskan penjajahan kuasa autonomi. Ambil contoh skala yang paling kecil, iaitu kisah Habil dan Qabil. Mereka bergaduh lalu membunuh sesama sendiri.

Kepada yang memerhati akan naik dan turunnya tamadun manusia, terdapat tanda-tanda yang telah ditinggalkan. Setiap kejayaan pasti akan ada pengakhirannya. Setiap kebangkitan pasti akan ada kejatuhannya. Yang hidup pasti akan mati. Begitulah kuasa alam yang selamanya tidak pernah berubah.

Aturan alam yang berulang-ulang. Dalam bahasa wahyu Quran ianya dikenali dengan Sunatullah. Yang bermaksud, tradisi Allah atau ketetapan Tuhan. Begitupun di era serba moden ini, masih terdapat kepercayaan yang mempercayai bahawa dunia ini bakal musnah dan zaman ini adalah pengakhirannya. Terkait dengan ilmu eskatologi. Tetapi benarkah begitu?

Pasti ada yang berfikiran sebaliknya. Iaitu dengan menumpukan pandangan kepada pembangunan tamadun manusia. Tidak sekadar tertumpu pada fahaman yang mengarut dan tidak berfakta. Apa yang berakhir adalah zaman, bukannya bumi ini yang hancur. Kehidupan manusia akan tetap diteruskan walaupun dikhabarkan dengan asteroid yang akan menghentam bumi dalam skala kerosakan yang sangat dahsyat dan sebagainya.

Keadaan semasa dunia dalam keadaan tidak enak di dengar. Peperangan, kezaliman, penipuan, penindasan, ketidak adilan dan yang sewaktu dengannya sedang tergenapi. Namun majoriti ramai masih lagi terleka. Konklusinya, manusia akan tetap menjadi manusia. Walaupun tanah bercampur besi (maksudnya, ada bahagian tubuh badan manusia adalah robotik), sifat legasi homo sapiens ini akan sentiasa berulang.

Agama tetap akan ada. Tetapi yang tetap akan bertahan dari dahulu adalah sistem kesejahteraan yang datangnya dari satu kuasa yang sangat unggul.

 
*The views expressed are those of the writers and do not necessarily reflect those of INS.*