Oleh BERSIH 2.0

KUALA LUMPUR, Malaysia-Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengalu-alukan kenyataan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengumumkan tarikh bagi Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Melaka jatuh pada 20 November 2021 dan penamaan calon pada 8 November 2021. Kami juga mengalu-alukan keputusan SPR untuk tetap menjalankan pilihan raya dan Kerajaan Persekutuan yang tidak menggunakan Proklamasi Darurat bagi menghentikan proses demokrasi ini.

Memandangkan PRN ini akan dilaksanakan semasa negara masih lagi dalam situasi pandemik COVID-19, walaupun bilangan kes semakin menurun dan kadar vaksinasi bagi orang dewasa di Melaka melebihi 90%, namun langkah berjaga-jaga dan proaktif masih perlu diambil oleh SPR bagi memastikan pelaksanaan PRN Melaka selamat serta dapat memberikan keyakinan kepada pemilih untuk turun menjalankan tanggungjawab mereka pada hari pengundian.

Pada PRN Sabah yang lepas, hasil pemerhatian kami mendapati langkah-langkah yang diambil oleh SPR dengan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu diteruskan seperti pemberian kad pengundi secara atas talian atau kad fizikal, disinfeksi saluran pengundian, saringan di pintu masuk pusat pengundian dan pemakaian pelitup muka serta penggunaan cecair nyahkuman.

Namun BERSIH 2.0 ingin mencadangkan beberapa perkara berhubung pelaksanaan pilihan raya bagi membantu mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19 semasa tempoh pilihan raya:

A. Penamaan Calon

1. Tempoh Penamaan Calon perlu dipanjangkan kepada lima hari atau seminggu untuk memudahkan calon-calon yang ingin menghantar borang pencalonan ke pejabat SPR Melaka dan memperbetulkannya jika ada kesilapan semasa mengisi borang. Pengumuman calon-calon yang berjaya juga boleh dibuat secara atas talian dan parti-parti politik tidak perlu berkumpul semasa tempoh penamaan calon.

B. Tempoh Berkempen

1. SPR perlu menetapkan kaedah kempen alternatif kepada parti-parti politik dan calon-calon pilihan raya. Antara kaedah yang boleh digunakan adalah dengan bekerjasama dengan RTM dan media arus perdana yang lain untuk membenarkan semua calon-calon, parti-parti politik mengemukakan tawaran manifesto mereka secara saksama.

2. SPR perlu menetapkan saiz penonton dan mengetatkan SOP bagi majlis-majlis ceramah umum. Sebagai contoh perlu menyediakan kerusi dan dilarang ada yang berdiri secara berkumpulan.
 
3. Menganjurkan Debat Ketua Menteri yang disiarkan secara langsung di semua media arus perdana. Calon-calon Ketua Menteri boleh mengemukakan cadangan program-program mereka semasa debat tersebut.
 
4. SPR juga boleh menetapkan saiz papan tanda (billboard) yang dibenarkan supaya papan tanda calon-calon bebas dan parti-parti kecil dapat dilihat dan tidak ditutup oleh papan tanda parti-parti besar.

C. Hari Pengundian

1. Kami mencadangkan agar SPR memanjangkan tempoh pengundian kepada tiga hari berbanding sehari seperti yang diumumkan. Untuk PRN kali ini, SPR hanya memanjangkan tempoh pengundian sehingga 5.30 petang dan ini tidak akan dapat mengurangkan kesesakan semasa tempoh pengundian.  

2. Hak mengundi adalah hak asasi dan ia tidak sepatutnya dihalang. Untuk mengurangkan risiko kepada pengundi yang telah lengkap vaksinasi, SPR boleh membuka satu laluan khas dan khemah saringan kepada mereka yang belum divaksin dengan penuh untuk mengambil ujian RTK-Antigen air liur atau calitan hidung sebelum dibenarkan masuk ke saluran pengundian.  

PRN Melaka akan menjadi kertas litmus terhadap pengurusan pilihan raya oleh SPR. Sekiranya formula dan pembaharuan yang dijalankan oleh SPR berjaya mencegah daripada berlakunya penularan wabak COVID-19 dan meningkatkan kadar pengundian, ia akan menjadi bukti dan contoh kepada negara lain untuk melaksanakan pilihan raya dengan selamat, bersih dan adil.