Oleh PEMBELA


KUALA LUMPUR, Malaysia--PEMBELA merujuk kepada perkembangan terkini melibatkan skandal integriti yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Kita melihat kes ini adalah kes yang sangat serius yang membuatkan kepercayaan rakyat semakin hilang terhadap SPRM.

Defisit kepercayaan terhadap SPRM bukannya baru berlaku, tetapi hasil dari pelbagai siri-siri skandal dalaman SPRM.

Pihak PEMBELA tidak pernah lupa bagaimana SPRM memandang sepi laporan-laporan yang PEMBELA lakukan dalam kes pencerobohan tanah khususnya di negeri Pahang (durian Musang King Raub, dsb) walaupun pelbagai bukti yang terbongkar seperti sudah terang lagi bersuluh.

Pihak polis dan pihak berwajib lain seperti Jawatankuasa Khas Parlimen perlu diberikan laluan untuk melakukan siasatan secara menyeluruh dan telus terhadap kes yang melibatkan Tan Sri Azam Baki dan kes-kes lain melibatkan SPRM.

Pada masa yang sama, Tan Sri Azam Baki mesti berani dan 'gentleman’ untuk tampil ke hadapan dan disiasat secara telus jika beliau berada di pihak yang benar.

PEMBELA berpandangan bahawa Tan Sri Azam Baki, perlu letak jawatan atau paling kurang bercuti sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sepanjang siasatan dijalankan terhadapnya.

Tan Sri Azam tidak perlu bimbang terhadap siasatan oleh pihak berkuasa jika beliau berada di pihak yang benar.

PEMBELA tidak akan berkompromi dengan segala masalah integriti terutamanya yang melibatkan badan penguatkuasa seperti SPRM.