Oleh Nur Jazlan Mohamed

JOHOR BAHRU, Malaysia--Hari ini hari terakhir MoU yang ditandatangani pada 13 September 2021 antara kerajaan dan pihak pembangkang.

Bagi saya, dengan berakhir Mou berkenaan bermakna kerajaan sudah bebas daripada belenggu pembangkang yang cukup bijak memanipulasinya untuk kepentingan politik mereka.

Mana taknya, sepanjang tempoh MoU itu yang kononnya untuk 'gencatan politik', tapi pembangkang lebih galak menghentam kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

Saya nampak pembangkang terutamanya parti-parti dalam PH sengaja memainkan pelbagai isu untuk memburukkan kerajaan Ismail Sabri.

PH juga mahu guna MoU itu untuk mereka terus memanjangkan hayat politik. Mereka mahu terus pegang jawatan sebagai MP dan cukup takut kalau Ismail Sabri bubarkan Parlimen lebih awal.

Pemimpin PH nampaknya sudah ketagih. Ketagih kuasa dan jawatan selepas pernah jadi kerajaan. Sebab itulah mereka cuba memanipulasi sebaiknya ruang MoU untuk menyusun gerakan bagi rampas balik Putrajaya pada PRU15.

Dalam mereka menghentam kerajaan, mereka juga turut membelasah UMNO/BN kerana Perdana Menteri adalah Naib Presiden UMNO.

Pemimpin PH memang licik dalam bab-bab memanipulasi isu dan mencipta persepsi negatif terhadap kerajaan, UMNO dan BN.

Mereka tahu jika mereka gunakan taktik mempolitikkan isu rakyat, matlamat itu boleh menghalalkan cara. Mereka guna isu subsidi, isu kenaikan harga barang untuk 'tembak' kerajaan dan UMNO/BN.

Mereka guna cara lain iaitu turun ke jalanan mengadakan demonstrasi dan flash mob dan jadikan BN sebagai punch bag untuk meraih keuntungan politik.

Yang menghairankan saya, kenapa PH hanya jadikan UMNO/BN sebagai sasaran sedangkan dalam Kerajaan PN juga ada Bersatu dan PAS.

Oooo mungkin sebab PH tahu Bersatu dan PAS memang parti yang sudah lemah dan tak perlu pun untuk serang mereka. Atau PH tak serang PN pasal nak tinggalkan pintu terbuka untuk kerjasama dalam pembahagian kerusi PRU 15 nanti. Mereka mungkin nak jilat balik ludah kena tipu dengan Bersatu.

Jadi PH hanya fokus kepada UMNO/BN yang mereka tahu sudah kembali mendapat kepercayaan rakyat. PH takut kerana rakyat sudah tak percaya kepada mereka selepas diberi peluang menjadi kerajaan selama 22 bulan tetapi PH GAGAL!

PH takut rakyat akan hukum mereka dan mereka akan kalah teruk pada PRU15 nanti. Sebab itulah PH cuba serang dan lemahkan UMNO/BN. Mereka cuba cetuskan persepsi negatif rakyat terhadap UMNO/BN.

Kerana itu jugalah, selepas Konvensyen PKR minggu lalu, mereka terus mengarahkan Panglima Gebu, Rafizi Ramli untuk turun menjelajah ke segenap pelosok negara.

PH mahu lancarkan serangan habis-habisan terhadap UMNO/BN sebab mereka tahu selepas tamat MoU makanya PRU15 semakin dekat.

PH memang nampak MoU ini dan situasi ekonomi semasa sebagai modal untuk mempolitikkan segala isu. Mereka hanya guna strategi menyerang tanpa tidak memberikan jalan penyelesaian.

Sudahlah merosakkan dalam masa yang sama mereka tak membantu apa-apa pun. Sebaliknya bila penghujung MoU mereka tuntut pula Ismail Sabri dan kerajaan penuhi segala tuntutan dalam MoU itu.

PH masih berhajat mahu MoU itu disambung sebab itulah mereka gunakan macam-macam alasan.

Sampai Presiden PKR dan konco-konconya dalam PH nak jumpa Ismail Sabri untuk buat tuntutan dalam MoU yang belum dipenuhi oleh kerajaan. Mereka kata banyak lagi RUU penting lain yang perlu digubal. Sama macam Muhyiddin desak Ismail tunaikan MoA Bersatu tuntut jawatan yang bukan perjanjian itu.

Guan Eng pula, lepas RUU Anti Lompat Parti diluluskan Dewan Rakyat, dia nak minta pula DUN semua negeri gubal enakmen Anti Lompat Parti, barulah PRU15 boleh dibuat.

Nampak sangat PH nak elak PRU15 diadakan tahun ini. Mereka memang takut nak berdepan dengan pilihan baru rakyat nanti. Sebab mereka sedar selama 22 bulan jadi kerajaan, banyak benda yang PH kencing rakyat!

Memang betullah, sekarang ini PH bukan saja gagal jadi kerajaan tapi mereka juga gagal sebagai pembangkang, iaitu jawatan tradisi yang mereka sandang sejak mula merdeka dulu.

*NOTA KAKI*

I entered politics to do something for the people and not to chase to become somebody.  Saya sudah buktikan di kawasan Parlimen Pulai iaitu separuh Kawasan Bandaraya Johor Bahru pembangunan pesat berlaku sehingga wajah kawasan tersebut berubah serupa di Lembah Klang sewaktu saya menjadi MP dari tahun 2004 hingga akhirnya kalah pada tahun 2018.

Semua orang boleh menikmati pembangunan itu termasuk MP Pulai sekarang boleh goyang kaki dan tak perlu buktikan khidmatnya kerana rakyat di Johor Bahru tidak memerlukannya macam kebanyakan wakil rakyat di Lembah Klang. Untungnya jadi wakil rakyat bukan BN di kawasan bandar ni.

Saya juga geram dengan sesetengah orang politik dan pemimpin parti yang terlalu mengejar kedudukan dan jawatan sehingga sanggup khianati parti sendiri dan khianati kepercayaan rakyat yang mengundi mereka.

Nawaitu dan perjuangan pemimpin semua parti sekarang ini jauh menyimpang dari pemimpin terdahulu yang berkorban untuk parti.

Sebab itulah saya lantang bersuara tak kira untuk tegur rakan separti mahupun menghentam lawan pembangkang sebab saya adalah Nur Jazlan anak Tok Mat Rahmat!

*Datuk Nur Jazlan Mohamed ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor Merangkap Ketua UMNO Bahagian Pulai.*