Oleh Zahida Zarik Khan

KUALA LUMPUR, Malaysia--Terlebih dahulu saya ingin mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan dari pelbagai sayap yang mewakili wanita muda komponen BN dan friends of BN yang datang dari jauh dan dekat.

Saya sangat berterima kasih kepada Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, YB Dato Sri Ahmad Zahid Hamidi, kerana sudi meluangkan masa bersama kita dalam Konvensyen Puteri Barisan Nasional pada hari ini.

Inilah julung-julung kalinya satu konvensyen khas untuk wanita muda Barisan Nasional diadakan.

Untuk pengetahuan YB DS Pengerusi dan rakan-rakan semua, di dalam komponen BN, UMNO ada Pergerakan Puteri, MIC ada sayap puterinya.

MCA ada beliawanisnya, Manakala Parti Bersatu Rakyat Sabah ada Skuad Wanita Muda PBRS. Saya juga difahamkan rakan-rakan daripada friends of BN ada juga sayap Wanita mudanya.

Sudah tentu kita semua masih ingat, Pergerakan Puteri ada sejarah tersendiri dalam UMNO. Cetusan idea YB DS Azalina Othman Said pada tahun 2001 yang diterima oleh keseluruhan Parti ketika itu.

Idea ini adalah atas kesedaran perlunya ada satu sayap yang menggerakkan wanita mudanya. Serta menjadi saluran untuk wanita mudanya menyampaikan hasrat dan aspirasi mereka melalui parti besar bernama UMNO.

Sayap ini tidak pernah bertujuan menjadi saingan kepada mana-mana sayap lain dalam parti.

Kini terbukti ia menjadi pelengkap kepada sayap-sayap lain dan mengukuhkan badan induk UMNO itu sendiri.

Sehingga kini, sayap ini wujud hanya di dalam parti-parti komponen tetapi tidak menjadi sebahagian dari institusi dalam sistem Barisan Nasional.

BN ada sayap wanita dan pemudanya tetapi belum ada sayap Puterinya.

Ketika pilihan raya diadakan, satu pemandangan yang biasa apabila kita melihat wanita-wanita muda mengendalikan sistem maklumat dan IT di barisan depan pondok-pondok petugas jentera parti.

Kebanyakannya ialah Puteri Umno dan belum boleh dipanggil Puteri Barisan Nasional.

Sebab itu dengan rendah diri, di depan para hadirin sekelian saya memohon agar YB DS Pengerusi mengajukan kepada Dewan Tertinggi BN untuk segera mewujudkan secara rasminya Sayap Puteri Barisan Nasional.

Kita mahu dalam PRU akan datang, di barisan depan wanita muda itu adalah Puteri Barisan Nasional. Kita mahu wajah-wajah itu adalah wajah wanita muda berbilang kaum yang mewakili Puteri Barisan Nasional.

Saya percaya, ideologi UMNO dan Barisan Nasional, tidak pernah merendahkan martabat wanita. Dari awal lagi soal wanita berhak mengundi tidak pernah menjadi isu.

Kita percaya wanita berhak mendapat pendidikan yang sama dengan lelaki. Kita antara pelopor kepada perjuangan gaji yang sama wanita dan lelaki.

Bahkan pencapaian wanita seperti menjadi Ketua Hakim Negara dan Gabenor Bank Negara adalah hasil perjuangan orang terdahulu yang dipelopori oleh UMNO melalui Perikatan dan Barisan Nasional.

Sejak Merdeka BN mengiktiraf wanita sebagai work force penting dalam pembinaan insan di negara kita. Kita sudah lama terkeluar dari mana-mana zaman gelap yang meletakkan wanita sebagai kaum kelas kedua yang hanya layak menjalankan tugas rumah tangga semata-mata.

Semangat Merdeka yang akan disambut mulai esok mesti diteruskan, bukan hanya merdeka daripada penjajah tetapi juga memerdekakan Wanita dari sebarang diskriminasi dan eksploitasi.

BN adalah parti progresif kerana ia didokong oleh pemimpin yang progresif. Parti kita, sudah lama memandang ke depan dan mengeluarkan wanita Malaysia dari sebarang belenggu yang mengikatnya untuk sama-sama maju ke depan.

Isu-isu yang bersifat prinsip tentang hak kesamarataan gender telah kita selesaikan sejak lama dahulu lagi. Namun ini tidak bermakna perlaksanaan dan penghayatannya sudah selesai kesemuanya.

Masih banyak isu-isu yang mesti diteruskan perjuangannya. Isu gangguan seksual tidak hanya berakhir kalau akta sudah dibuat. Isu hak penjagaan anak. Isu nafkah dan penganiayaan. Isu cabaran semasa wanita muda yang memulakan kariernya.

Semua isu-isu ini mesti terus diperkatakan dan diperbahaskan dan perlaksanaannya mesti menjadi sebahagian dari budaya hidup kita dan dihayati oleh semua pihak.

Zaman Cinderella sudah berakhir. Masalah wanita hanya dikatakan berakhir apabila dapat berkahwin dengan putera raja dan tinggal di istana besar. Cerita pari-pari seperti itu hanyalah khayalan untuk lari dari masalah sebenar.

Realitinya tidak begitu. Kemiskinan rakyat akan menjadi cabaran untuk semua. Terutama di saat negara dan dunia dilanda kemelesetan ekonomi. Dengan kurang pekerjaan dan kenaikan kos sara hidup.

Semua akan merasakan. Atau sekiranya berlaku pembuangan kerja apakah wanita dahulu yang menjadi mangsanya?

Di kelompok rakyat miskin, penderitaan wanita dari keluarga miskin lebih berganda impaknya. Lebih-lebih lagi di kalangan ibu tunggal, atau mereka yang ditinggalkan. Atau ada suami tetapi tidak tahu tanggungjawabnya.

Termasuk suami yang bernafsu besar tetapi kemampuan kurang. Malas bekerja atau terjebak dengan dadah. Hebat di luar, ganas di rumah. Wanitalah yang sering menanggung tekanan kesan fizikal dan psikologi yang tidak terhingga, tetapi tak ramai dapat menyelaminya.

Hanya wanita lebih memahami wanita. Sebab itu suara wanita penting. Mereka perlukan sokongan dan perlu diberi peluang menyampaikan pandangan dan cadangan dipelbagai forum dan institusi.

Dengan mempelbagaikan barisan wanita dalam Barisan Nasional ini dapat memperkukuhkan agenda pemerkasaan wanita dan kesaksamaan gender. Taraf kita sama walaupun peranan berbeza.

Namun kita tidak pula mahu dilihat Puteri dan Wanita hanya alat untuk memperkukuhkan kedudukan lelaki, terutama mereka yang tidak pernah mempedulikan nasib kaum hawa.

Merayu undi - wanita, membanci gred pengundi - wanita. Bersekang mata mengadap computer - Wanita muda, menguruskan data pengundi - wanita muda. Di maki hamun ketika mengendalikan call centre - wanita muda. Namun kalau pilih calon, kamilah yang paling bawah.

Banyak alasan pasti diberi.

Sebab itu sesekali terfikir juga. Apa kata kita ubah peranan? Biar lelaki merayu undi atau buat kerja Jalinan Rakyat? Atau jaga komputer dan kendalikan call centre? Biar kami pula jadi calon dan lelaki bekerja untuk memenangkan kami? Kalau ia terjadi kami semua sanggup tampal poster.

Kami juga boleh beri banyak alasan.

Namun kami faham, melahirkan lebih ramai winnable candidate adalah cabaran yang perlu dilakukan bersama. Kami akan jadikan organsisasi ini bagi melahirkan lebih ramai pemimpin masa depan untuk parti dan negara.

Dulu dalam UMNO pencapaian tertinggi Wanita sekadar Ketua Wanita sahaja. Tapi kini sudah ada 5 Bahagian yang diketuai oleh Wanita. Bahagian Penggerang, Johor, Bahagian Pendang dan Bahagian Sungai Petani di Kedah, Bahagian Maran di Pahang dan Bahagian Beluran di Sabah.

Mereka semua adalah produk Puteri UMNO. Ini bukti proses memperkasakan Wanita bermula dari institusi Pergerakan Puteri UMNO. Jangan terkejut suatu hari nanti 50 ketua bahagian datang dari produk Puteri UMNO pulak.

Parti nak menang. Kami tetap akan bekerja untuk memastikan kemenangan calon-calon BN.

Dengan syarat, parti juga mesti mengemukakan calon yang faham tentang aspirasi wanita. Faham apa itu pemerkasaan wanita. Parti kena bertegas dengan mereka yang berpandangan sexist dan rasis, yang suka mempersendakan Wanita, yang suka merendahkan wanita dan yang bertingkah laku yang memualkan terhadap wanita.

Kami juga sangat sensitif dengan mereka ini. Kalau seluruh masyarakat mual dengan mereka, parti tidak lagi boleh mengharapkan kami mempertahankan mereka. Full stop. No way brother! Lelaki MCP, Male Chauvinist Pig, lelaki yang menganggap dialah dewa segalanya, sepatutnya tiada tempat dalam Barisan Nasional.

YB Dato Seri Pengerusi dan rakan-rakan semua,

Konvensyen Puteri BN yang pertama hari ini adalah rintisan kepada banyak lagi forum-forum yang akan kami anjurkan mengenai aspirasi wanita muda dan pengukuhan kepada pemahaman konsep pemerkasaan wanita. Agenda kami mesti menjadi agenda parti.

Selepas acara perasmian ini, kita akan mendengar pelbagai pandangan semua pihak.

Kita dengar apa pandangan Bossku DS Najib dan ulasan Apek Cina berkaitan parti dan wanita.

Di sebelah petang kita mendengar pandangan-pandangan mengenai persiapan pilihanraya serta semangat yang perlu dikongsi oleh pengasas Pergerakan Puteri Umno Malaysia YB DS Azalina Othman Said. Terutama sekali atas tajuk BN perlu menjadi parti penggerak pembaharuan.

Konvensyen ini akan ditutup oleh YB Dato Seri Hj. Muhamad Hassan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional.

Diharapkan konvensyen rintis ini akan memberi kesan mendalam kepada kami semua. Ia adalah pembakar semangat untuk kami bekerja lebih tekad lagi untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional. Kami yakin dan percaya, tidak ada parti lain yang lebih baik untuk masa depan kami dan negara melainkan Barisan Nasional yang kami sokong dan dokong ini.

Di atas kesudian YB DS Pengerusi bersama kami pada pagi ini dan merasmikan Konvensyen ini sekali lagi kami ucapkan terima kasih. Kami juga ingin merakamkan terima kasih atas komitmen DS memberi ramai calon-calon Wanita muda menjadi calon BN di Melaka dan Johor.

Kami yakin di dalam pelbagai cabaran yang terpaksa DS Pengerusi lalui, kebijaksanaan DS Pengerusi lah banyak merubah landskap politik sejak Barisan Nasional dilanda bencana besar 4 tahun yang lalu.

BN kembali menerajui negeri Perak, menerajui Melaka dan Johor. Jatuhnya Warisan di Sabah. Paling penting perubahan 3 Perdana Menteri di Persekutuan dan lahirnya BN led Government pada hari ini. Ini adalah hasil dan gerak tindak DS Pengerusi kita. Kalau dulunya ada kita belajar tentang Sun Tzu Art of War, UMNO dan BN ada versinya tersendiri mengenai Art of War nya.

Hari ini adalah tarikh terakhir MOU tidak ada pilihan raya sebelum 31hb Julai. Ertinya pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa. Kami mahu pilihan raya diadakan segera. Kita sudah menang besar di Melaka, kita sudah menang besar di Johor, jangan sampai momentum kemenangan ini hilang. Segeralah diadakan pilihan raya. BN ready, Puteri ready.

War Cry kami Puteri Ready. DS Pengerusi jangan sesekali melayan kehendak pembangkang dan juga BERSATU yang mahu melengah-lengahkan pilihan raya sehingga ke hujung penggal.

Kenapa kita perlu tunggu mereka bergabung, baru kita nak serang, jangan kita berikan mereka vitamin untuk mereka lebih kuat. BODOHLAH Kita, tidak menyerang ketika musuh kita lemah.

Tahniah, di atas kejayaan meminda perlembagaan bagi membolehkan akta anti lompat parti diadakan. Ingat, Bersatu adalah sarang bagi pengkhianat yang tidak perlu dilayan kehendaknya.

Kami tidak sabar menunggu pilihan raya diadakan segera. Kami tidak sabar untuk melihat katak-katak pengkhianat termasuk bekas pemimpin pergerakan Puteri UMNO sendiri, ditanam politiknya.

Kami mahu BN kembali menguasai negara dan meneruskan perjuangan memberikan kemakmuran dan kebaikan kepada rakyat.

Semoga Allah menyatukan hati-hati kita. Mempermudahkan perjuangan kita. Memberkati kemenangan kita.

Sekian, wabillahitaufik, walhidayah. Wassalamulaikum, warahmatullahi wabaratuh.

*Teks ucapan penuh Datuk Zahida Zarik Khan ialah Ketua Puteri UMNO Malaysia di Konvensyen Puteri BN.*