Oleh Penyumbang INS

PUTRAJAYA, Malaysia--- Kenyataan media yang dibuat oleh Yang DiPertua Majlis Peguam Malaysia, Puan Karen Cheah yang mempersoalkan kesaksamaan dan keupayaan Pasukan Petugas Khas (PPK) Siasatan ke atas Dakwaan-Dakwaan dalam Buku Bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” tulisan bekas Peguam Negara, YBhg. Tan Sri Tommy Thomas melaksanakan tanggungjawab secara tidak berpihak adalah sesuatu yang tidak berasas dan tidak benar sama sekali.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar berkata, PPK ditubuhkan melalui persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 Disember 2021 sebagai sebuah pasukan mencari dan mengesahkan fakta (fact finding) serta telah melaksanakan analisis mendalam terhadap setiap pemerhatian sebelum merumuskan semua dapatan dalam laporan yang telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 30 September 2022.

Semua ahli PPK telah menjalankan tanggungjawab hampir lapan bulan secara bebas tanpa campur tangan mana-mana pihak dan semua penelitian serta dapatan yang dikemukakan adalah berpandukan kepada 19 sesi konsultasi yang diadakan bersama pelbagai pihak berkepentingan.

Di samping itu, PPK juga telah meneliti pelbagai maklumat dan dokumen yang dibekalkan oleh agensi-agensi kerajaan berkaitan.

Bagi memastikan setiap pandangan diambil kira, pihak PPK telah mengambil inisiatif menjemput wakil daripada Majlis Peguam Malaysia bagi memberikan pandangan terhadap isu-isu berbangkit dalam buku tulisan Tan Sri Tommy Thomas ini. Namun demikian, pihak Majlis Peguam enggan mengambil bahagian dalam sesi konsultasi dengan PPK.

Sehubungan itu, persepsi negatif yang cuba ditimbulkan oleh Majlis Peguam Malaysia berhubung kesaksamaan dan keupayaan PPK melaksanakan tanggungjawab secara tidak berpihak disifatkan sebagai tidak berasas kerana PPK pernah memberikan peluang dan menjemput Majlis Peguam Malaysia untuk memberikan pandangan berhubung isu-isu berbangkit dalam buku berkenaan.

“Saya ingin menegaskan bahawa metodologi, perkara-perkara yang diteliti dan pihak-pihak yang terlibat dalam sesi konsultasi serta pihak yang enggan memberikan kerjasama telah disenaraikan dalam laporan dan ini juga menjadi contoh bagaimana PPK telah melaksanakan tanggungjawab secara terbuka dan tidak berpihak,” kata Menteri.

Pihak PPK juga telah mengemukakan senarai cadangan penambahbaikan yang memberikan manfaat kepada peningkatan mutu sistem keadilan dan kehakiman di Malaysia untuk diteliti semua pihak berkaitan.