Oleh S. Arutchelvan
KUALA LUMPUR, Malaysia-25 tahun yang lalu, pada 30 April 1998 (Rabu), sehari sebelum Hari Pekerja, kami beberapa orang, antaranya Dr. Nasir, Selvam dan saya, bergerak pergi ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Selangor di Jalan Pekeliling, Sentul, untuk mendaftar sebuah parti atas nama Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Tidak ada liputan media meluas kecuali satu rencana berita kecil di akhbar The Star pada keesokan hari yang melaporkan peristiwa tersebut dengan satu persoalan sama ada parti baharu ini akan hidup atau terus mati seperti parti-parti kiri sebelumnya seperti Parti SDP, Parti Marhaen dan Parti Pekemas.
Tindakan mendaftarkan sebuah parti kiri dengan nama Sosialis selepas beberapa peristiwa seperti kejatuhan Tembok Berlin, selepas ahli sains politik berhaluan kanan Francis Fukuyama menulis karyanya The End of History, selepas Parti Komunis Malaya (PKM) menandatangani Perjanjian Damai Hatyai dan selepas Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) menggugurkan Sosialis daripada namanya; – dilihat oleh kebanyakan rakyat terutamanya golongan sosialis lama di negara kita sebagai satu langkah gila, cubaan menggali kubur sendiri, tidak masuk akal dan adventures
Namun, parti yang memohon pendaftaran sewaktu Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri ke-4, sebelum penyingkiran Anwar Ibrahim daripada UMNO dan sebelum Reformasi, hanya didaftarkan sepuluh tahun selepas itu.
Walaupun PSM kecil dan sering dikatakan parti nyamuk, namun seperti yang kita semua sedar, nyamuk ialah sejenis serangga yang digeruni terutamanya dalam konteks ini, ditakuti oleh golongan pemodal, kapitalis, penunggang agama dan mereka yang sealiran. Sememangnya PSM menjadi duri dalam daging untuk golongan berkuasa yang beranggapan bahawa sudah tamatnya riwayat parti kiri di Malaysia.
Selama 10 tahun Kerajaan Malaysia cuba menghalang pendaftaran PSM. Namun, PSM menjadi parti pertama dalam sejarah yang mengheret Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke mahkamah dan setelah satu pertempuran besar, PSM didaftarkan. Juga, nama Sosialis kembali ke dalam spektrum politik negara.
Dalam tempoh tersebut juga, Dr. Jeyakumar Devaraj berjaya menjadi Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat dan Dr. Nasir Hashim menjadi ADUN di Selangor. Ini menandakan kembalikan Ahli Parlimen dan ADUN Sosialis setelah kemarau politik selama 40 tahun. Kali terakhir sebuah parti sosialis menang dalam pilihan raya adalah pada tahun 1964. Walaupun PSM meminjam logo PKR, tetapi setelah PSM didaftarkan, maka dicatatkan dalam Parlimen dan DUN bahawa Dr. Kumar dan Dr. Nasir mewakili PSM.
Selepas PSM didaftarkan pada tahun 2008, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula membawa masalah dan berkata simbol genggaman tangan PSM tidak sesuai dan berunsur keganasan. Maka, PSM melawan SPR dan berkata bahawa bukankah keris dalam logo UMNO dan Roket dalam logo DAP juga boleh ditafsir sebagai simbol keganasan sedangkan simbol tangan PSM hanyalah sebahagian anggota tubuh badan manusia. Akhrnya, PSM menang perlawanan itu dan logo tangan PSM dibenarkan oleh SPR akhirnya.
3 tahun selepas PSM didaftarkan pada tahun 2008, satu lagi cabaran besar muncul apabila separuh daripada kepimpinan tertinggi parti ditahan bawah Ordinan Darurat (EO). Pada tahun 2011, puluhan ahli dan pemimpin PSM ditahan disebabkan sebuah kempen nasional yang dijalankan pada masa itu, iaitu “Udahlah itu, Bersaralah BN”.
Kerajaan BN-UMNO menahan 6 orang aktivis kanan PSM (EO6) di bawah Ordinan Darurat selepas seminggu lebih bertarung dengan puluhan tahanan aktivis PSM yang lain atas alasan menghidupkan semula PKM, melawan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan sebagainya. Jelas menunjukkan bahawa tindakan pemerintah sebenarnya cuba mengkambinghitamkan PSM sebagai umpan untuk menghancurkan gerakan BERSIH pada masa itu. Namun, PSM tetap melawan arus dan menjalankan kempen seluruh negara sehingga semua tahanan PSM dibebaskan. PSM selamat sekali lagi daripada serangan pemerintah.
Pada tahun 2016, Ketua Polis Negara pula telah membatalkan Kursus Kilat Marxisme anjuran Biro ideologi PSM atas sebab isu keselamatan negara. Maka, sekali lagi, PSM menjadi tajuk utama berita dan inilah testimoni bagaimana pemerintah begitu gusar dengan ideologi sosialis.
Semasa Pilihan Raya Kecil untuk kerusi DUN Semenyih pada tahun 2019, Perdana Menteri pada masa itu Dr. Mahathir Mohamad pula berkata bahawa sesetengah pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus mengubah cara pemikiran “sosialis” mereka dan tidak patut terus mengecam sistem kapitalis. Beliau menegur segelintir orang PH dengan berkata bahawa mereka tidak seharusnya mengecam sistem kapitalis tersebut kerana sistem ini yang selama ini memperkayakan negara.
Pada tahun 2023 ini pula, ketika perdebatan Belanjawan negara berlangsung, Wan Saiful daripada Perikatan Nasional bertanya sama ada Belanjawan kerajaan diilhamkan oleh Manifesto Komunis yang ditulis oleh Karl Marx dan Friedrich Engels sekitar 175 tahun yang lalu. Wan Saiful juga mempersoalkan samaada Perdana Menteri cuba mencetuskan peperangan kelas.
Semua ini memberikan kita mesej bahawa sistem Sosialis sememangnya sistem yang ditakuti pemerintah dan inilah sebabnya mereka mengambil masa lebih 10 tahun untuk mendaftarkan PSM dan selepas itu terus mengasak PSM.
Berbeza dengan beberapa buah parti kiri yang pernah wujud sejak tahun 1980-an dan 1990-an, PSM kembali berdasarkan ideologi Marxisme. PSM mempunyai satu program yang berlandaskan perjuangan kelas. Ahlinya mengikuti kelas ideologi dan perjuangan parti sentiasa menekankan posisi ini, termasuk dalam isu antarabangsa. PSM juga membawa Sosialisme ala Malaysia dengan mengambil kira isu-isu di negara kita selain tidak tersasar daripada perjuangan kelas.
PSM juga konsisten dan terus berkempen dalam isu-isu yang dapat memperkasakan kaum pekerja dan rakyat marhaen di negara kita. Antara kempen yang berideologi jelas adalah PSM menentang polisi kapitalisme neoliberal di mana kami membantah penswastaan hospital, penswastaan air dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Kami berjuang untuk perumahan selesa bagi golongan miskin dan menuntut perlindungan yang lebih menyeluruh bagi para pekerja. Paling terkini, kami mengusulkan kempen pencen warga emas.
PSM mendapat sokongan dalam kalangan golongan miskin bandar, masyarakat pekerja ladang dan satu segmen pekerja. PSM juga telah membina pelbagai fron parti yang memfokus pada isu-isu akar umbi. Namun, kekuatan akar umbi PSM masih belum menjelma ke dalam satu kuasa pilihanraya yang kuat. PSM masih dihantui dengan masalah dalam meningkatkan keahlian dan pencapaian politik pilihanraya.
Dalam isu antarabangsa, PSM menentang segala perang yang didukung oleh imperialis global, menentang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), dan sekarang membantah Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Kedua-dua parti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) memang was-was dengan PSM hanya kerana satu sebab – ideologi sosialis PSM yang menolak sistem kapitalis. Kedua-dua parti besar ini didukung oleh kapitalis-kapitalis besar dan mereka tidak akan membenarkan sebuah parti sosialis untuk berkembang atau mendapat pengaruh. Ini juga dapat dilihat bagaimana semasa PRU-15, PH menolak kerjasama dengan PSM tetapi pada hari ini dapat berpelukan dengan BN pula. Perikatan Nasional (PN) pula melihat agenda PSM yang sekular, progresif dan liberal sebagai ancaman kepada perjuangan mereka.
Dalam suasana ini, untuk mendukung aspirasi rakyat biasa, membela polisi yang pro-rakyat, mengagihkan secara kekayaan negara secara adil, mencukai golongan mahakaya, membina politik progresif yang berlandaskan kelas dan bukannya perkauman – kita memerlukan satu parti yang berbeza ideologi daripada parti-parti yang disajikan hari ini.
Namun, dalam suasana yang penuh permusuhan dan mencabar ini, PSM terus hidup dengan maruah dan jati diri yang kuat. Walaupun PSM gagal memperoleh kemenangan pilihan raya, namun kegigihan perjuangan PSM berjaya mendapat kemenangan demi kemenangan di kawasan akar umbi dan juga di medan nasional.
Pada awal penubuhan parti, PSM mengambil posisi untuk mengembalikan nama Sosialis ke medan politik arus perdana negara dan ini sudah dicapai. Perkataan Sosialis mula menjadi satu perkataan yang boleh diterima. PSM kekal menjadi parti unggul yang terus memaparkan politik perjuangan kelas, dan melawan arus untuk menentang parti-parti politik lain yang hidup dengan politik perkauman dan agama.
Hari ini, pandangan PSM sering mendapat liputan meluas dalam media, dan masyarakat sivil melihat PSM sebagai suara yang progresif dan berjiwa rakyat serta bersifat akar umbi. Kempen PSM berjaya mendapatkan Akta Gaji Minimum, perumahan untuk pekerja ladang dan Skim Insurans Pekerjaan – adalah kemenangan raksasa yang kurang dihebohkan. Semua kemenangan ini adalah usaha tegar PSM. Ini tidak termasuk ratusan perjuangan akar umbi yang berlaku di setiap pelusuk bumi tercinta ini.
PSM kini berusia 25 tahun, iaitu telah menjangkaui jangka hayat Barisan Sosialis yang dihancurkan selepas 10 tahun. Kami kini mempunyai ramai ahli Melayu muda yang telah menyertai PSM di mana pada satu masa dahulu, kami takut bahawa Dr. Nasir akan menjadi satu-satunya lelaki sosialis Melayu terakhir. PSM masih memegang takhta di Malaysia sebagai parti perjuangan, parti rakyat marhaen dan parti akar umbi.
Dalam 25 tahun ini, PSM telah berkembang luas. Pada masa yang sama, kami terus dikritik kerana gagal menjadi parti arus perdana kepada 99% rakyat Malaysia. PSM masih gagal mencapai kemenangan pilihan raya yang kritikal dan sebahagian besar disebabkan oleh sistem pilihan raya dan politik perkauman.
Namun, PSM berjaya mengembalikan nama Sosialis ke bumi Malaysia. Kini, perjuangan muktamad adalah membina gerakan massa untuk merampas semula dunia kita daripada golongan 1 peratus terkaya dan mengagihkan semula kekayaan kepada 99 peratus rakyat majoriti. PSM hanya berperanan sebagai penyambung perjuangan golongan kiri yang sebelumnya dan kami bersedia untuk bersama gerakan-gerakan aliran untuk membina dunia yang lebih baik untuk semua.
Teori Dialektika Marxism ada menyebut bahawa selagi ada penindasan, selagi itu ada perjuangan menuntut keadilan. Selagi ketidaksamarataan wujud, akan wujudnya kuasa yang menuntut kesamarataan. Selagi ada jurang antara yang kaya dan yang miskin, selagi itu adanya peperangan kelas untuk menuntut sebuah sistem yang adil dan saksama.
Oleh itu, persoalan sama ada ideologi Sosialisme atau PSM akan terus relevan atau pupus ditelan zaman, jawapannya hanya berlandaskan keadaan objektif. Selagi adanya pertembungan kelas, selagi itu adanya perjuangan kelas. Bagi PSM pula, selagi adanya perjuangan kelas, selagi itu perjuangan PSM dan golongan kiri cukup relevan.
Selamat menyambut ulang tahun ke-25 Parti Sosialis Malaysia.
*S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).*
Hot news
PSM 25 tahun: Relevan-Berprinsip-Suara Marhaen
0 Comments
53724 view
0 Comments
LEAVE A REPLY
Your email address will not be published