Oleh Penyumbang INS

KUALA LUMPUR, Malaysia--Pengerusi UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri disaran bersama memikul tanggungjawab terhadap prestasi buruk parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sekali gus meletakkan jawatan.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata tidak wajar hanya meletakkan kesalahan dan tanggungjawab kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Pengerusi BN, selain berterusan mendesaknya untuk meletak jawatan, lapor Berita Harian.

"Seeloknya semua Pengerusi UMNO dan BN negeri umumkan letak jawatan dan bukan hanya desak Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN saja yang berundur.

"Ini termasuk juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang kalah dan juga ketua-ketua sayap parti yang kalah sepatutnya melepaskan jawatan masing-masing.

"Ini kerana kekalahan ini adalah tanggungjawab bersama dan bukan letakkan semua kesalahan atas bahu Presiden UMNO sahaja. Barulah 'gentleman'.

"Begitu juga Presiden MCA dan MIC yang cukup lancang mulut mereka minta Ahmad Zahid lepaskan kerusi Pengerusi BN kerana dituduh gagal dan jadi punca kekalahan teruk BN pada PRU15," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam keputusan PRU15 yang diumumkan awal pagi Ahad lalu, BN hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen, jumlah kerusi lebih rendah berbanding dicapai mereka pada PRU14.

Pada PRU14 lalu, UMNO menang di 54 kerusi Parlimen.

Berdasarkan keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), beberapa kerusi dimenangi UMNO dalam PRU14 lalu beralih ke Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Nur Jazlan yang turut tewas di kerusi Parlimen Pulai menimbulkan persoalan berapa banyak kerusi dimenangi MCA dan MIC pada pilihan raya berkenaan.

"Saya nak tanya Presiden MCA (Datuk Seri Dr Wee Ka Siong) dalam 40 kerusi yang diberikan kepada mereka pada PRU15, berapa puluh kerusi yang mereka menang. 10, 20, 30 kerusi. Yiiilekkkk, kamu hanya menang dua kerusi saja, itupun kerusi majoriti Melayu.

"MIC pula diberi 10 kerusi tapi cuma menang satu kerusi saja. Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran pula kalah teruk. Itu pun nak berkokok mengalahkan ayam sabung. Masih tak sedar diri dan ada hati nak suruh orang lain berundur.

"Sepatutnya kamu berdua dulu yang kena letak jawatan dengan terhormat sebab selama kamu pimpin parti sendiri, tak ada sumbangan besar pun pada BN.

"Undi orang Cina dan India kepada parti kamu makin teruk. Hayat MCA dan MIC pun merempat serta ihsan sokongan UMNO sahaja," katanya.

Nur Jazlan berkata, jika mereka mereka tidak mahu letak jawatan, jadi jangan minta orang lain pula berundur.

"Sebaiknya dalam keadaan ini, semua pihak bermuhasabah, renung dalam diri masing-masing, akui kesalahan sendiri juga sebelum tuding jari pada orang lain.

"Saya juga termasuk dalam kumpulan calon BN yang kalah tapi saya tak ada nak sibuk-sibuk susun atur hala tuju parti, saya tak ada nak desak Presiden letak jawatan.

"Baik kita buat 'post mortem', cari punca rakyat tak undi kita, cuba untuk akui dan perbetulkan kesilapan serta bagaimana cara untuk kita semua bangkit semula. Bagi saya cari itu lebih afdal daripada kita duduk sibuk dengan hal-hal yang semuanya terikat kepada Perlembagaan dan peraturan parti," katanya.

Beliau berkata, faktor di atas antara punca BN kalah teruk pada PRU15.

"Sebab masih ramai tak belajar daripada peristiwa hitam 2018. Ramai masih nak tuding jari pada orang lain dan anggap diri sendiri suci sangat," katanya.