By Awang Hazim Awang Basir

ADAKAH menjadi satu kesalahan kepada Datuk Suhaili Abdul Rahman yang dilantik sebagai pengarah di beberapa anak syarikat MARA Corp?

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir cuba berlagak hero dengan membangkitkan isu pelantikan berkenaan ‘seolah-olah  menekap mata dan telinga’ enggan mendapatkan maklumat sebenar.

Pelantikan Suhaili menyandang lima jawatan dalam MARA adalah atas kapasiti beliau sebagai Pengarah Eksekutif MARA Corp dan sebagai ahli pengurusan syarikat-syarikat MARA Corp.

Menjadi kelaziman untuk mana-mana pengarah eksekutif sebuah syarikat induk dilantik sebagai salah seorang pengarah dalam anak syarikatnya seperti mana berlaku di syarikat lain. Ia bukan suatu perkara luar biasa serta pelanggaran integriti.

Sekalipun Suhaili merupakan orang politik selaku Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),  kewibawaannya itu diyakini dapat memberikan nilai tambah kepada pengurusan subsidiari tersebut. Ini apabila pelantikan yang dibuat bukan sahaja atas dasar ekonomi, malah turut mengambil kira faktor sosial apabila sebahagian besar aktiviti komersial syarikat berkait rapat dengan polisi kerajaan seperti pendidikan.

Mengamati satu persatu dakwaan Akmal Nasrullah atau lebih dikenali sebagai Akmal Nasir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru itu, sebenarnya tiada satu pun hujah berasas apabila beliau mempergunakan isu ‘salah guna kuasa dan membangkitkan soal pulangan atau elaun’ diterima oleh Suhaili.

Mengenai  dakwaan salah guna kuasa, adakah Akmal Nasir maklum bahawa anak syarikat MARA tidak disenaraikan di Bursa Malaysia?  Mengikut The Malaysian Code on Corporate Governance (MCCG) iaitu berkenaan kod etika komposisi pelantikan ahli-ahli pengarah syarikat, ia tidak terpakai sama sekali dalam kalangan anak syarikat agensi tersebut.

Meskipun kod tidak terpakai, itu tidak bermakna anak syarikat MARA dan MARA Corp tidak telus. Ia memandangkan mereka sentiasa menjadikan MCCG sebagai sumber rujukan utama dalam usaha meningkatkan ketelusan syarikat, di samping merujuk  dengan menggunapakai amalan The Green Book Structuring A High Performance Board diterbitkan Khazanah.

Malah, Lembaga Pengarah MARA Corp. telah bersetuju bahawa semua pengarah bebas boleh dilantik sebagai pengarah bukan bebas dalam mana-mana anak  syarikat dengan  syarat mereka adalah golongan profesional, mempunyai kepakaran serta pengalaman industri.

Berbekalkan elemen itulah Suhaili dilantik yang bertujuan supaya dapat membantu anak syarikat dan sebagai semak dan seimbang dalam pengurusan organisasinya.

Ia selaras pelan rasionalisasi bagi meningkatkan daya saing dan mengekalkan daya tahan khususnya dalam mendepani cabaran semasa impak daripada pandemik Covid-19.

Isu elaun diterima Suhaili turut dibangkitkan oleh Akmal Nasir dengan Ketua AMK itu hanya membangkitkan dakwaan  tanpa mengemukakan bukti. Ia sekadar tuduhan semata-mata.

Untuk pengetahuan umum, Suhaili selaku ahli pengurusan MARA Corp tidak menerima elaun bulanan seperti mana yang diterima oleh ahli lembaga pengarah yang lain -  seperti mana disyaratkan oleh Kementerian Kewangan dalam perkara itu.
 
Jika soal integriti yang menjadi 'bola tanggung' Akmal Nasir, beliau sewajarnya menerima hakikat pelantikan Suhaili dipersetujui oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Majlis MARA.
 
Dan paling penting lagi, Suhaili melepasi tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sekali gus menjadikan isu integriti dan ketelusan bukan   persoalan dalam pelantikannya mengisi jawatan berkenaan.
 
Tindak tanduk segelintir individu seperti Akmal Nasir yang suka membuat andaian, malah  cuba berlagak hero bersandarkan sumber tidak sahih bukan sahaja memberi gambaran negatif terhadap institusi Bumiputera, tetapi lebih teruk lagi menjejaskan imej MARA.
 
MARA tidak pernah berkompromi dalam isu integriti. Malah terus menjunjung amanah dan integriti dalam menggerakkan pembangunan sosioekonomi Bumiputera.

*The views expressed are those of the writers and do not necessarily reflect those of INS.*