Oleh Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR, Malaysia--Malaysia telah melancarkan skim pensijilannya sendiri, iaitu Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO), pada Januari 2015 didorong oleh faktor kos, sinisisme dan kekecewaan terhadap propaganda berat sebelah sesetengah negara barat.

Pensijilan ini dibangunkan menggunakan asas rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) bagi memenuhi keperluan tempatan dengan input pasukan akademik antarabangsa dan pihak berkepentingan alam sekitar.

MSPO ini bukanlah untuk bersaing dengan kaedah pensijilan lain dan ia lebih bertumpu kepada ekonomi Malaysia, alam sekitar dan hidupan liar. Tujuan MSPO adalah sebagai satu skim nasional untuk ladang kelapa sawit – sama ada milik kerajaan atau perseorangan – serta kebun kecil terancang dan kemudahan pemprosesan minyak sawit supaya ia mematuhi piawaiannya.

Bermula sebagai satu penanda aras untuk pengeluaran minyak sawit yang bertanggungjawab, pensijilan MSPO merangkumi semua aspek pengeluaran minyak sawit - bermula dari peringkat huluan hingga hiliran. Ia mengambil kira keperluan untuk pemuliharaan hutan, selaras dengan ikrar Malaysia pada Sidang Kemuncak Bumi Rio 1992 untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada tanah negara di bawah litupan hutan.

Piawaian MSPO akhirnya diwajibkan pada akhir 2019 dengan tiga garis masa mandatori yang terdiri daripada 
 
(i) industri perladangan yang telah mempunyai pensijilan RSPO menjelang 31 Disember 2018; 
 
(ii) mereka yang tidak mempunyai pensijilan sebelum 30 Jun 2019; dan 
 
(iii) pekebun kecil menjelang 31 Disember 2019.

Piawaian MSPO juga telah diselaraskan dengan pengurusan pengeluaran minyak sawit yang menggunakan undang-undang dan peraturan negara sedia ada. Dalam konteks kelestarian minyak sawit, jenis skim sama yang telah dilaksanakan ialah RSPO dan Minyak Sawit Lestari Indonesia (ISPO).

Secara ringkasnya, pensijilan MSPO menekankan pengurusan mampan dan bertanggungjawab yang boleh memberi impak sosial, alam sekitar dan ekonomi yang positif sambil meminimumkan kesan negatif, khususnya ke atas manusia dan alam sekitar.

Manfaatnya boleh diringkaskan sebagai:
 
• Penambahbaikan kepada piawaian pengurusan;
• Menggalakkan pengurusan hutan lestari;
•Peningkatan biodiversiti;
•Peningkatan sosial;
•Peningkatan kecekapan yang memberi faedah ekonomi;
• Pematuhan kepada dasar kesihatan dan keselamatan;
•Pematuhan kepada keperluan undang-undang dan kontraktor; dan •Akses kepada pasaran sedia ada dan baharu.

Badan pentadbir bagi sistem pensijilan ini adalah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). Badan pensijilan bebas yang berdaftar dengan MPOB dibenarkan menilai organisasi berdasarkan piawaian MSPO yang berkaitan dan memastikan semua premis yang mengambil bahagian mematuhi piawaiannya. Sijil akan dikeluarkan oleh badan pensijilan bebas ini selepas menjalankan audit dan mendapat kelulusan daripada MPOB.

Menurut MPOB, setakat 30 Jun 2020, 3,040 ladang atau 96.04 peratus yang terdiri daripada 4,064,895 hektar tanah tanaman, telah memperolehi sijil MSPO manakala sebanyak 400 kilang minyak atau 88.5 peratus telah berjaya mendapatkan sijil MSPO. 
 
Berdasarkan pelaksanaan mandatori pensijilan MSPO yang telah bermula pada 1 Januari 2020, pemilik ladang kelapa sawit dan kilang yang belum memulakan proses pensijilan akan dikenakan tindakan undang-undang mulai 1 Julai 2020. 
 
Tindakan penguatkuasaan MPOB termasuk mengeluarkan amaran, tindakan undang-undang dan akhirnya, penggantungan atau pembatalan lesen sepatutnya dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2021.

Malangnya, walaupun terdapat sedikit peningkatan dalam kesedaran oleh Kesatuan Eropah (EU) tentang minyak sawit mampan dan MSPO, propaganda anti sawit masih tetap dimainkan oleh beberapa negara barat.
 
Kebolehpercayaan standard MSPO ini sering dipandang dingin dek kerana sikap pilih kasih blok ekonomi itu terhadap pensijilan (RSPO).

RSPO yang dibangunkan oleh satu pasukan antarabangsa yang merangkumi pengeluar minyak sawit, peniaga, pelabur dan organisasi bukan berasaskan keuntungan pada tahun 2004 – lebih sedekad sebelum MSPO. 
 
RSPO mempunyai pelbagai kumpulan bukan berasaskan keuntungan dan pemegang kepentingan yang menyatukan tujuh sektor industri minyak sawit dalam satu dialog tetap.

Ini termasuk pelabur, penanam, peruncit dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ia menggunakan sistem pengundian secara konsensus untuk membangunkan standard dan kriteria secara berterusan. Setakat ini, 20 peratus daripada minyak sawit dunia mempunyai pensijilan RSPO. Sebagai perintis pensijilan, RSPO

dipuji kerana menggalakkan pertumbuhan dan penggunaan minyak sawit yang mampan. Tidak boleh dinafikan bahawa apabila penanaman dilakukan dengan bertanggungjawab, penghasilan minyak sawit adalah sangat efisien dengan penggunaan tanah yang optimum.

Dibandingkan dengan tanaman utama lain seperti bunga matahari, kacang soya dan kanola, kelapa sawit menggunakan tanah yang paling sedikit tetapi menghasilkan minyak yang paling banyak. Satu ekar kelapa sawit boleh menghasilkan 11 kali lebih banyak minyak berbanding dengan kacang soya dan 10 kali lebih banyak daripada bunga matahari.

Sejak kebelakangan ini, RSPO juga telah dikritik, terutamanya oleh pertubuhan alam sekitar yang bukan berasaskan keuntungan. Mereka berpendapat bahawa piawainya gagal memberikan perlindungan yang mencukupi untuk hutan asli, buruh yang digunakan dalam ladang kelapa sawit atau dalam menangani perlindungan iklim. 
 
Penyelidikan Greenpeace juga telah menggambarkan RSPO sebagai satu usaha 'greenwashing' atau penyebaran maklumat tidak tepat mengenai manfaat alam sekitar.

Baru-baru ini, organisasi antarabangsa ini juga mendedahkan kemusnahan hutan hujan secara besar-besaran di Indonesia, yang didakwa disebabkan oleh syarikat yang diperakui RSPO.

Beberapa syarikat yang mengguna pakai RSPO juga telah menyokong larangan minyak sawit oleh EU, dengan alasan ia boleh memperlahankan penebangan hutan. Ini telah menyebabkan ramai pencinta alam sekitar meragui sekiranya pensijilan ini telah melencong daripada misi asalnya, iaitu untuk mengguna pakai amalan pengeluaran minyak sawit yang mampan.

Semasa kemuncak pandemik COVID-19 pada tahun 2020, beberapa syarikat RSPO juga dikatakan telah melanggar hak asasi manusia.

Dalam laporannya “Burning Questions: – Credibility of Sustainable Palm Oil Still illusive”, NGO antarabangsa Agensi Penyiasatan Alam Sekitar UK dan rakan kongsinya di Malaysia - Grassroots - mengakui bahawa walaupun tahun 2020 menyaksikan Jawatankuasa Tetap Jaminan RSPO (ASC) mencuba meningkatkan jaminannya, ia masih belum dapat menyelesaikan tugas utamanya untuk menangani kebimbangan mengenai pengeluaran minyak sawit di bawah RSPO.

"Sistem jaminan RSPO sepatutnya mengawasi proses pengesahan bahawa minyak sawit telah dihasilkan secara mampan tetapi masih terdapat kebimbangan," kata jurukempen EIA Forests Siobhan Pearce.

“Lencana kelulusan RSPO membolehkan “greenwashing”, satu taktik supaya pengguna mempercayai bahawa produk adalah mampan dan baik untuk alam sekitar walaupun sebenarnya ia tidak benar.”

“Walaupun pelbagai tindakan diambil dalam tempoh lima tahun yang lalu, tidak banyak yang boleh memberi keyakinan bahawa RSPO akan menyelesaikan masalah masalah ini. ASC dan RSPO mesti bertindak lebih pantas dalam mencari punca masalah dan melaksanakan perubahan yang benar-benar akan menanganinya.”

Pengasas Grassroots, Andrew Ng, menambah: “Konflik baru dan sedia ada berkaitan hak asasi manusia dan hutan dengan pemegang sijil RSPO menunjukkan bahawa walaupun dengan usaha ASC, tuntutan untuk minyak sawit mampan masih tidak dipenuhi.”

Hampir 5,000 ahli RSPO ialah beberapa syarikat multinasional terbesar di dunia seperti Unilever, Procter & Gamble, Kellogg’s dan Johnson & Johnson.

Menurut Agensi Penyiasatan Alam Sekitar UK, jelas bahawa terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam skim pensijilan seperti RSPO yang berusaha untuk menyemai keyakinan dalam pendirian mereka.

Perkara ini dapat dilihat lebih jelas dengan kedua-dua UK dan EU bersedia untuk memperkenalkan undang-undang baharu untuk menangani perkara yang haram serta isu hak tanah dan penebangan hutan dalam rantaian bekalan.

Laporan yang diguna oleh Parlimen EU juga menekankan bahawa skim pensijilan hanya boleh digunakan di samping usaha lain yang wajar dilakukan oleh syarikat kerana terdapat kebimbangan bahawa skim pensijilan sahaja tidak berkesan.