Oleh BERSIH

KUALA LUMPUR, Malaysia--Gabungan Pilihan Raya Bersih & Adil (BERSIH) menggesa Perdana Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) supaya melaksanakan Pindaan Perlembagaan Anti-lompat Parti tanpa berlengah-lengah lagi. Pindaan perlembagaan yang amat diperlukan ini telah diwartakan pada 6 September.

Pada mulanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Junaidi telah mengisytiharkan bahawa ia akan dikuatkuasakan selewat-lewatnya pada pertengahan September, dalam sidang media di Parlimen pada 9 Ogos (1).

Walaubagaimanapun baru-baru ini diumumkan bahawa tarikh penguatkuasaan akan diumumkan kemudian oleh YDPA.

BERSIH ingin tahu mengapa penguatkuasaan Pindaan ini, yang diluluskan oleh kedua-dua Dewan Parlimen, ditangguhkan.

Pilihan Raya Umum Ke-15 semakin hampir, jadi adalah mustahak pindaan ini dikuatkuasakan supaya pengundi boleh mengundi dengan tenang bahawa pilihan mereka tidak akan dibatalkan oleh katak politik selepas pilihan raya.

Di bawah pindaan ini, sekiranya mana-mana ahli parlimen bertukar parti, kerusi parlimen mereka akan dikosongkan secara automatik dan pilihan raya kecil akan diadakan melainkan kurang daripada 2 tahun sebelum penggal Parlimen berakhir, maka tiada pilihan raya kecil akan dipanggil untuk mengisi kekosongan itu.

Sekiranya pertimbangan Kerajaan adalah penerimaan undang-undang ini diperingkat negeri, di mana memerlukan kebenaran Sultan atau Yang di-Pertua Negeri masing-masing, maka seluruh pindaan kecuali bahagian yang melibatkan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan boleh dikuatkuasakan dahulu.

Hal ini dibenarkan di bawah Seksyen 1(2) dan (3) pindaan ini. Tidak ada alasan untuk menangguhkan lagi penguatkuasaan ini yang telah mendapat konsensus nasional yang telah ditunjukkan semasa pengundian parlimen di peringkat persekutuan.

BERSIH menjangkakan bahawa pindaan ini akan menggalakkan rakyat untuk keluar mengundi dan hal ini penting dalam demokrasi bagi mana-mana kerajaan yang dipilih untuk mempunyai mandat yang kuat dan sah untuk mentadbir selama lima tahun.