Oleh Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR, Malaysia--Hari ini, keluar laporan bahawa kadar pengangguran kembali meningkat ke 4.8% atau 767,700 orang. Meningkat 40 ribu orang di Jun berbanding Mei.

Tetapi sebenarnya keadaan lebih teruk dari itu.

- Nisbah guna tenaga jatuh seramai 33 ribu orang dari Mei ke Jun. Bermakna dalam tempoh sebulan ada 33 ribu orang yang tak lagi termasuk dalam kategori penganggur kerana terus "give up" mencari kerja. (Kita hanya dianggap penganggur jika kita dianggap aktif mencari kerja tapi tidak dapat)

- Jumlah rakyat yang "bekerja sendiri" meningkat 4 ribu orang. Dalam keadaan sekarang, kita sedia maklum "bekerja sendiri" tidak memberi gambaran optimistik dari sudut pendapatan

- 1.85 juta yang ada pekerjaan pula underemployed dari segi kemahiran atau bekerja tetapi dalam bidang yang lebih rendah daripada kelulusan atau kepakaran contohnya ada Degree tapi kerja yang memerlukan kelulusan SPM

- 330 ribu pula "underemployed" dari segi jumlah tempoh bekerja (mereka bekerja separuh masa atau tidak cukup masa untuk dikategorikan sebagai bekerja penuh)

Paling mengejutkan,

- Jumlah rakyat status bekerja, tetapi terpaksa "tidak bekerja buat sementara" disebabkan PKP -- naik sebanyak 661,400 orang ke 801,100. Sebahagian besar dari 800 ribu mereka ini sama ada gaji dipotong atau kosong. Kelompok ini tak dikira dalam angka pengangguran 4.8% tadi itu.

Sebab itu bila kita bercakap angka pengangguran dalam erti kata sebenar, bukan hanya 700/800 ribu atau 4/5%. Jelas, angka mereka yang benar-benar terkesan sudah jauh melangkaui 1 juta orang.

Belanjawan 2020 tempoh hari, penubuhan Majlis Pekerjaan Negara dihebahkan sebagai pendekatan hebat dan segar. Tak pernah wujud sebelum ini. Dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri.

Apa yang telah dicapai oleh MPN ini? Tempoh hari dilaporkan 320 ribu peluang pekerjaan diwujudkan oleh MPN.

Pertama, angka itu amat tidak memuaskan.

Kedua, bukan semua 320 ribu itu takkan wujud kalau MPN ini tak tertubuh pun.

Jadi, apa sebenarnya kerja mereka selama ini? Saya pun kurang faham. Lebih sejuta orang tak ada pendapatan - Majlis ni buat apa??

Apa yang diperlukan ialah satu siri inisiatif radikal dengan perbelanjaan Kerajaan yang secukupnya untuk memerangi isu pengangguran sepenuhnya. Skim Jaminan Pekerjaan atau Bank Pekerjaan telah dicadangkan banyak kali sebagai contoh. 

 
Namun, nampaknya Kerajaan dengan Majlis ini masih selesa dengan inisiatif-inisiatif biasa yang mungkin niatnya baik, tetapi masih berpendekatan "old school" sehingga tidak mencapai sasaran.

Seperkara lagi, jangan kita anggap henti sahaja "lockdown" masalah selesai. Kalau lihat data yang dikongsi tadi, masalah sekarang sudah teramat mendalam. Buka ekonomi, mungkin angka bertambah baik sedikit. Mungkin sebahagian dari yang 800 ribu "tak bekerja sementara" tadi boleh kembali bekerja. 
 
Sebahagian yang kerja separuh masa boleh kembali penuh masa? Tapi berapa ramai? Berapa ramai dari mereka akan diberhentikan terus? Bagaimana pula angka kategori yang lain? Ini yang patut Kerajaan dan Majlis Pekerjaan fikirkan, rancang dan bentang dahulu lagi.

Jika sesebuah Kerajaan membentangkan cadangan perbelanjaan yang:
- Benar-benar mampu menyelesaikan masalah
- Tidak membazir
- Lebih dianggap suatu pelaburan kepada kapasiti ekonomi dan rakyat

saya yakin Dewan Rakyat tidak akan teragak-agak meluluskan sebarang peningkatan had hutang negara atau apa sahaja perundangan yang perlu dipinda. Tapi...ye lah, kena bentang la di Dewan.