Oleh IDEAS

KUALA LUMPUR, Malaysia--Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) melahirkan rasa kebimbangan mengenai kejatuhan sebanyak lima kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 yang terkini oleh Transparency International.

Malaysia jatuh dari kedudukan ke-57 daripada keseluruhan 180 buah negara pada tahun 2020 ke kedudukan ke-62 pada tahun 2021. Dari segi pemarkahan, Malaysia mendapat  48 markah daripada keseluruhan 100 markah pada tahun 2021 berbanding 51 markah pada tahun 2020, meletakkan Malaysia dalam kelompok dua pertiga negara di seluruh dunia yang mendapat kurang daripada 50 markah.

IDEAS mengaitkan beberapa faktor untuk kejatuhan ini, termasuk kekurangan iltizam politik dari pelbagai agensi kerajaan, organisasi dan individu berpengaruh untuk menentang rasuah. 

 
Satu contoh jelas adalah penyiasatan tidak lengkap dan pembebasan secara tergesa-gesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Azam bin Baki.

“Satu lagi isu adalah kekurangan pembaharuan berkaitan SPRM semenjak tahun 2015”, hujah Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh.

“Perkara ini perlu diberi perhatian yang jelas atau pemarkahan CPI Malaysia akan terus merosot pada masa hadapan. Kita juga perlu mempertimbangkan bahawa pelantikan politik ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak terkawal selepas kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih pemerintahan berkemungkinan telah menyebabkan markah kita lebih merosot sepanjang tahun lalu kerana perkara tersebut menyebabkan lebih banyak aliran masuk pendanaan tidak terkawal ke dalam bidang komersial GLC tersebut.”

IDEAS juga mengambil maklum bahawa kelihatan hanya sedikit pelaksanaan Pelan Antirasuah Kebangsaan (NACP), yang berusaha untuk mewujudkan sebuah negara bebas rasuah melalui tiga matlamat khusus, termasuk memastikan

(i) Kebertanggungjawaban dan Kredibiliti Kehakiman, Pendakwaan dan Agensi Penguatkuasaan Undang-undang;

(ii) Penyampaian Perkhidmatan Awam yang cekap dan responsif, dan

(iii) Integriti dalam Perniagaan.

Tricia turut menambah: “Kita perlu mempertimbangkan bahawa birokrasi dan institusi kerajaan yang tidak diuruskan dengan baik juga menyumbang kepada kemerosotan ini.

“Kajian kami terhadap rasuah dalam rantaian bekalan Malaysia mendedahkan betapa berakar umbinya rasuah apabila penjawat awam sering kali mengambil kesempatan menyalahgunakan kuasa mereka atas kekurangan pengetahuan umum terhadap peranan dan tanggungjawab yang hadir bersama kedudukan mereka.”

“Akhir sekali, terdapat isu pendanaan politik yang tidak terkawal dan campur tangan politik dalam pentadbiran dan kewangan kerajaan. Ketiadaan penyeliaan sumbangan politik serta pendanaan awam yang sewajarnya memberi kesan kepada bidang dasar awam lain, termasuk perolehan awam dan tadbir urus baik.

IDEAS mencadangkan tiga penyelesaian bagi menangani pemarkahan CPI Malaysia yang rendah:

Langkah perlu diambil terhadap saranan pembaharuan berkenaan SPRM pada tahun 2015, termasuk:

1.Mewujudkan sebuah Suruhanjaya Bebas Antirasuah (IACC) sebagai sebuah suruhanjaya berperlembagaan;

-Pindaan terhadap Akta SPRM 2009 (Seksyen 23 – Salah laku Penjawat Awam) (Seksyen 36 – Liabiliti Korporat);

-Pembaharuan undang-undang lain termasuk Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Perlindungan Saksi 2009.

2.Pencapaian sebenar dalam Pelan Antirasuah Kebangsaan (NACP) dilaporkan secara telus kepada awam;

3.Memastikan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) bertindak berdasarkan mandatnya untuk memudahkan dan memantau integriti dalam institusi awam.

Tricia memberikan kesimpulan, “Akhirnya, kegagalan melakukan pembaharuan dan perubahan yang diperlukan ini akan mempunyai akibat dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Dalam jangka masa pendek, hal ini akan memberi kesan negatif kepada usaha pemulihan pasca-COVID-19 dan pasca banjir Malaysia. Dalam jangka masa panjang, ia akan menghakis keyakinan dan kepercayaan pelabur asing terhadap ekonomi Malaysia serta merendahkan keyakinan awam terhadap kerajaan dan institusi awam.”