Oleh Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR, Malaysia--Beberapa hari lalu kita dengar pengumuman lembik Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bahawa kerajaan sukar mengawal harga barangan juadah yang dimasak. 

 
Banyak mekanisme kawalan, kata PM, adalah untuk mengawal harga bahan mentah.
 
Saya faham bahawa campurtangan kerajaan adalah terhad dalam isu harga barangan. Cuma yang menyedihkan PM seolah-olah mengangkat bendera putih dan hilang punca dalam menangani isu harga makanan.

Tambahan pula dengan masalah lama gaji rendah di negara kita, maka rakyat biasa menjadi mangsa.
 
Aspek yang tidak diberi perhatian oleh kerajaan adalah Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang ditubuhkan di bawah Akta Persaingan 2010.
 
Berapa banyakkah monopoli-monopoli pembekalan makanan yang telah berjaya dibasmi sejak MyCC ditubuhkan? 
 
Berapa banyakkah tindakan yang telah diambil di bawah Akta Anti Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 untuk memerangi pemborong dan orang tengah yang mengambil keuntungan berlebihan?
 
Hakikatnya kerajaan tidak memperkasakan dan melengkapkan MyCC secukupnya untuk memainkan peranannya.

MyCC perlulah benar-benar bebas daripada kerajaan. Kerajaan perlu mengangkat MyCC menjadi seperti suruhanjaya-suruhanjaya lain dengan bajet yang cukup supaya dilihat bertaring dalam bertindak.

*Nik Nazmi Nik Ahmad adalah Ahli Parlimen Setiawangsa.*